Monday 9 April 2012

Penyakit Angin Ahmar/Strok

Penyakit angin ahmar atau lebih dikenali sebagai strok antara penyakit yang menyerang manusia secara senyap, tanpa sebarang amaran. Malah ramai antara penghidapnya tidak menyedari bahawa mereka mempunyai risiko diserang strok.

Di Malaysia, strok adalah pembunuh yang keempat terbesar selepas jangkitan kuman dalam darah (septisemia), penyakit jantung dan kanser. Berdasarkan statistik, kira-kira 40,000 rakyat di negara ini diserang strok setiap tahun.

Lebih membimbangkan, jika sebelum ini penyakit itu sering dikaitkan dengan golongan berusia, ia kini mula menyerang lelaki dan wanita muda yang berumur di bawah 40 tahun. Bilangannya juga semakin meningkat.

Apa yang pasti, kos rawatan pesakit strok adalah tinggi dan rawatan pemulihan bagi pesakit yang terselamat daripada maut mengambil masa yang panjang dan mahal apatah lagi jika ia dilakukan di luar negara.

Terdapat pelbagai kaedah rawatan strok di negara ini. Antaranya ialah terapi antiplatelet dan penggunaan agen trombolitik seperti alteplas e juga dikenali sebagai pemecah bekuan darah secara suntikan bagi membantu membuka arteri sekiranya berlaku sekatan.

Di samping itu, terdapat juga kaedah rawatan lain seperti terapi Sistem Embolik Cecair Onyx TM (Onyx LES TM) dan relung pasang tanggal Nexus TM (Relung Nexus TM) bertujuan merawat penyakit kecacatan arteri (AVMs) dan aneurisma otak bagi menghalang bagi berlakunya strok pada peringkat awal.

Salah satu kaedah yang cukup berkesan dan popular di luar negara iaitu rawatan serebovaskular kini ditawarkan di Hospital Gleneagles Intan, Kuala Lumpur. Pembedahan itu akan dikendalikan oleh sekumpulan pakar bedah dari Universiti Macquarie, Sydney, Australia diketuai Professor Michael K. Morgan.

Rawatan serebovaskular itu, merangkumi pembedahan pintasan otak atau brain bypass surgery. Pembedahan itu membolehkan darah masuk ke otak menerusi laluan alternatif.Sambungan itu biasanya dibuat dengan menggunakan arteri darah yang diambil daripada kaki atau otot-otot di sekitar kepala.

1 comment:

  1. Assalamualaikom anakanda,assignment baik adan memuaskan

    ReplyDelete